24-Point Home Inspection Checklist Rumah Baru Untuk Elak Ditipu PemajuHARTABUMI
Hasil carian anda

24-Point Home Inspection Checklist Rumah Baru Untuk Elak Ditipu Pemaju

Template Featured Image 2020 (9) 01

Dipos oleh Hi HOME pada Julai 21, 2020
| 0

Home inspection adalah proses mencari kerosakan (defects) dan hasil kerja tak kemas (poor workmanship) di rumah baru. Ini adalah supaya pemaju boleh membetulkannya tanpa melibatkan apa-apa kos dari pembeli rumah.

Ia adalah proses terakhir – tetapi paling penting sebenarnya – untuk memastikan anda tak ditipu oleh pemaju sebaik sahaja dapat kunci rumah baru.

Anda mesti tak nak jumpa kerosakan dan kecacatan rumah baru anda lepas dah bawa masuk perabot dan pindah masuk kan?

Dan yang paling tak best sekali, bila anda hanya jumpa kerosakan dan kecacatan itu selepas bertahun-tahun duduk.

Nak tuntut pemaju betulkan balik pun dah tak boleh dah. Sebab kerosakan dan kecacatan itu anda jumpa selepas 24 bulan – iaitu tempoh liabiliti kecacatan bangunan (DLP) di bawah Akta Pemajuan Perumahan 1966.

DLP ini macam waranti. Jika anda jumpa kerosakan dan kecacatan di rumah baru anda dalam tempoh 24 bulan, anda berhak untuk tuntut pemaju untuk memperbaikinya semula – tanpa perlu keluarkan apa-apa kos daripada anda.

A beginner's guide for strata property owners in Malaysia ...

Kredit : Iproperty

Ramai dah pembeli rumah yang dah ‘terkena’ dengan pemaju disebabkan tak buat home inspection. Lepas duduk lama, mereka baru jumpa keretakan di dinding. Ini defects yang sangat berbahaya dan mahal untuk diperbaiki.

Jadi hari ini, kami di Hi HOME nak ajar anda pasal home inspection dari A sampai Z.

Home inspection: buat sendiri atau hire orang?

Walaupun DLP tempohnya 24 bulan, kami nasihatkan anda supaya buat home inspection SEBAIK SAHAJA dapat kunci rumah.

Ada dua cara kalau anda nak buat home inspection.

Pertama, anda boleh upah professional inspector untuk buatkannya bagi pihak anda.

Kedua, anda boleh buat home inspection sendiri.

What are the deal breakers of a home inspection? | HowStuffWorks

Kredit : home.howstuffworks.com

Bila anda upah professional inspector, mereka akan periksa dan cari kerosakan dan kecacatan di segenap inci rumah baru anda. Selepas periksa, mereka akan buat laporan dan hantar kepada anda untuk dihantar kepada pihak pemaju.

Kekurangan bila anda upah professional inspector ini, sudah pastilah kosnya.

Biasanya mereka akan caj servis mereka dalam lingkungan RM500 satu rumah. Caj ini bagaimanapun berbeza-beza mengikut jenis, keluasan dan lokasi rumah anda.

Tetapi kelebihannya adalah anda akan dapat servis yang tip top.

Sebagai professional inspector, mereka tahu apa yang perlu diperiksa, di mana nak tengok dan apa yang perlu dilaporkan kepada pemaju.

Tapi kalau anda tak nak keluarkan lagi duit, anda pun boleh buat home inspection sendiri. Dengan syarat, anda kena ada ilmu asas.

Kalau anda perlukan ilmu asas ini, anda berada di tempat betul. Sebab kami nak ajar anda cara buat DIY home inspection menggunakan checklist 8-point di bawah.

Prosedur buat DIY home inspection

Sebelum buat DIY home inspection, anda perlukan barang-barang berikut:

  • Semua kunci pintu dalam rumah
  • Dokumen SPA yang mengandungi original floor plan
  • Pita ukur
  • Masking tape/label stickers
  • Marker pen
  • Buku nota
  • Kamera
  • Tangga
Tips check defect rumah baru

Kredit : KakiProperty

Biasanya pihak pemaju akan bagi borang khas untuk anda isi segala kerosakan dan kecacatan yang anda jumpa di rumah baru anda. Jika pemaju tak bagi apa-apa borang, catatkannya di dalam buku nota.

Jika anda jumpa apa-apa kerosakan dan kecacatan dalam rumah baru anda, pastikan anda:

  1. Tanda kerosakan dan kecacatan dengan masking tape/label stickers. Tulis kerosakan atau kecacatan apa yang anda jumpa (contohnya dinding merekah, jubin pecah, pintu tak boleh lock dsb) di masking tape/label stickers tersebut.
  2. Labelkan setiap kerosakan dan kecacatan dengan nombor.
  3. Tangkap gambar setiap kerosakan dan kecacatan dengan kamera.
  4. Catatkan senarai kerosakan dan kecacatan yang anda jumpa di borang yang disediakan pemaju atau buku nota.
  5. Buat salinan borang senarai kerosakan dan kecacatan untuk simpanan anda sebelum hantar kepada pemaju.

Selepas hantar borang senarai kerosakan dan kecacatan kepada pemaju, mereka ada masa 30 hari untuk membuat kerja-kerja pembaikan. Selepas siap, mereka akan menghubungi anda sekali lagi untuk anda buat pemeriksaan kali kedua.

Tapi tempoh ini boleh mengambil masa lebih lama dari 30 hari kalau ada banyak rumah baru menghadapi masalah sama.

Jadi anda boleh guna budi bicara anda untuk berbincang dengan pihak pemaju berapa tempoh yang anda persetujui.

Kalau pemaju tak memberi apa-apa respon terhadap laporan kerosakan dan kecacatan rumah baru anda, anda boleh dapatkan kontraktor anda sendiri untuk baiki.

Lepas baiki, anda berhak untuk tuntut semua kos pembaikan tersebut daripada peguam pemaju.

Checklist pemeriksaan kerosakan dan kecacatan rumah

Berikut merupakan checklist senarai kerosakan dan kecacatan yang perlu anda cari semasa membuat home inspection.

Tips check defect rumah baru

Kredit : Kakiproperty

Umum

  1. Pintu dan tingkap: Adakah engsel pintu dan tingkap berfungsi dengan baik? Adakah pintu kaca dan tingkap ada retak atau pecah?
  2. Kunci pintu: Adakah kunci pintu berfungsi dengan baik? Bolehkah pintu dibuka dan dikunci dengan mudah?
  3. Dinding: Adakah dinding ada retakan, kesan basah, permukaan tak rata atau cat tak rata?
  4. Lantai: Adakah lantai ada rekahan? Adakah permukaan lantai tak rata? Adakah jubin lantai ada bunyi lompong? Adakah jubin lantai dipasang dengan kemas?
  5. Siling: Adakah siling ada lubang, kotoran, rekahan, cat tak rata atau kesan basah?
  6. Kabinet dan countertop: Adakah ada kesan calar? Adakah pintu kabinet boleh ditutup dan dibuka dengan mudah?
Proses Masuk Rumah Baru) Step 1 of 5 : House Check / Defect Check ...

Kredit : pinkyleona

Paip

  1. Kepala paip: Adakah semua kepala paip berfungsi dengan baik? Adakah kepala paip masih ada titisan air selepas ditutup?
  2. Pemanas air: Adakah air panas keluar apabila suis pemanas air dibuka?
  3. Tekanan air: Adakah aliran air perlahan apabila paip dibuka?
  4. Mangkuk tandas: Adakah pengepam tandas berfungsi dengan baik selepas dipam?
  5. Saliran: Adakah saliran di tandas, dapur dan sinki berfungsi dengan baik apabila air melimpah? Adakah saliran tersumbat?
  6. Sinki, tab dan bilik mandi: Adakah saliran air berfungsi dengan baik apabila air melimpah? Adakah kesan karat pada sebarang komponen sinki, tab dan bilik mandi?
  7. Meter air: Penuhkan air di tangki utama. Bila tangki utama penuh, adakah meter air berhenti? Jika tak berhenti, maknanya ada paip bocor.
Beautiful Life: Dapat Kunci rumah dan defect - #rumahAnS

Kredit : Mizasasaki

Elektrik

Rujuk dokumen SPA untuk merujuk jenama dan saiz perkakas elektrik yang dijanjikan oleh pemaju di rumah baru anda.

  1. Lampu: Adakah semua lampu menyala apabila suis dibuka? Adakah lampu ada berkelip-kelip apabila suis dibuka?
  2. Penghawa dingin: Adakah semua feature penghawa dingin berfungsi dengan baik? Adakah remote control disediakan?
  3. Soket: Adakah jumlah soket yang dijanjikan mencukupi? Adakah semua soket berfungsi apabila dibuka?
  4. Panel elektrik: Adakah wayar elektrik yang terjuntai?
  5. Loceng: Adakah loceng rumah berfungsi dengan baik?
Proses Masuk Rumah Baru) Step 1 of 5 : House Check / Defect Check ...

Kredit : pinkyleona

Luar rumah

Jika rumah baru anda jenis landed, jangan lupa periksa sekali kawasan luar rumah anda.

  1. Cat: Adakah cat rata? Adakah cat yang sudah mula berkuping?
  2. Tiang: Adakah ada retak?
  3. Anjung: Adakah lantai anjung rata? Adakah jubin lantai anjung dipasang dengan betul dan kemas? Adakah lantai anjung mempunyai kecerunan untuk membolehkan air mengalir keluar?
  4. Pagar: Adakah engsel atau roda pagar berfungsi dengan baik? Adakah pagar boleh dibuka dan ditutup tanpa berbunyi bising?
  5. Bumbung: Adakah ada komponen bumbung yang dah pecah, berlubang atau hilang?
  6. Longkang: Adakah longkang tersumbat atau merekah?

Kesimpulan

Orang tua kata, beringat sebelum kena. Nasihat ini amat sesuai sekali diaplikasikan jika anda baru membeli rumah dan sedang teruja untuk pindah masuk selepas mendapat kunci dari pemaju.

Dengan melakukan home inspection, tak kiralah secara DIY atau upah professional inspector, anda dapat melindungi diri anda sendiri daripada risiko ditipu pemaju tak bertanggungjawab.

Ketahui hak anda sebagai pengguna. Lindungi diri anda daripada menjadi mangsa pemaju tak bertanggungjawab dengan ilmu. Dengan checklist yang kami beri tadi, anda akan menjadi pembeli rumah yang lebih bijak.

Sumber:

  1. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2013/06/29/new-doesnt-mean-perfect-visavis-purchase-from-housing-developers
  2. https://homeinspection.my/handover-inspection/
  3. https://hartabumi.com/8-checklist-semak-defect-rumah-baru-anda/
  4. http://propertyinsight.com.my/featured-properties/step-by-step-guide-after-you-pick-up-your-keys/
  5. https://www.iproperty.com.my/guides/heres-everything-you-need-to-know-about-home-inspection-checklist/

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah