3 Risiko Renovasi Rumah Lelong Kepada Rumah Mewah | HARTABUMI
Hasil carian anda

3 Risiko Renovasi Rumah Lelong Kepada Rumah Mewah

Risiko Renovate/Renovasi Rumah Lelong Kepada Rumah Mewah

Dipos oleh myhartabumi pada Oktober 5, 2017
| 0

Sejak kebelakangan ini, ramai yang berkongsi idea dan hasil renovasi rumah mereka kepada umum. Beli rumah lelong pada harga RM100,000 dan lakukan renovasi sehingga seolah-olah ia bernilai RM300,000.

Sekalipun kami tidak menafikan kebaikan dan penjimatan yang diperoleh daripada renovasi tersebut, pemilik rumah harus turut mengambil kira beberapa risiko yang mungkin terpaksa ditanggung akibat renovasi tersebut.

Kami kongsikan beberapa perkara yang perlu anda ambil kira sebelum bercadang untuk melakukan renovasi ke atas rumah anda.

1. Keselamatan

Faktor yang paling utama yang perlu diambil kira adalah faktor keselamatan. Apabila kita melakukan renovasi mewah, sudah pasti rumah kita akan lebih menonjol daripada kejiranan yang lain.

Dan oleh sebab ini, ia akan menarik perhatian yang lebih berbanding rumah-rumah lain di kawasan perumahan tersebut, termasuk perhatian daripada pihak-pihak yang kita tidak ingini. Apa ertinya kita tinggal dalam mahligai yang indah tapi sentiasa diancam bahaya?

2. Persekitaran

Salah satu faktor yang mungkin kita lupa untuk menilai adalah faktor persekitaran. Sudah pasti kita ingin tinggal dalam kejiranan yang bersih, harmoni dan sejahtera.

Tapi, sekiranya hanya rumah kita sahaja yang bersih dan cantik tapi persekitaran tidak terjaga, sudah pasti kita tidak akan merasa selesa untuk tinggal di situ. Faktor pembiakan nyamuk aedes oleh persekitaran turut harus diambil kira dalam perkara seperti ini.

Sudah tentu kita menjaga kebersihan rumah kita, tapi apakah persekitaran kita mempunyai kesedaran yang sama seperti kita?

3. Nilai

Pembeli perlu sedar, apabila kita melakukan renovasi sebanyak RM100,000 ke atas rumah yang berharga RM100,000, mustahil untuk nilai rumah tersebut naik kepada RM200,000 semata-mata kerana renovasi tersebut.

Ya, pembeli mungkin akan menilai rumah anda pada kadar yang lebih tinggi, tapi paling tinggi mungkin hanya 50% daripada kos yang anda laburkan. Belum kira faktor usia renovasi. Apa yang lebih teruk, pihak bank hanya menilai jenis renovasi yang bersifat kekal (fixed) seperti sambungan dapur, kabinet, plaster ceiling.

Disebabkan hal ini, ia akan menyukarkan anda untuk menjual rumah kepada pembeli yang seterusnya oleh kerana kos lebihan yang perlu disediakan oleh pembeli bagi menampung nilai yang tidak diambil kira oleh pihak bank.

Oleh kerana itu, kami menasihatkan anda sebagai pembeli untuk mengambil kira faktor-faktor ini sebelum melaburkan wang ringgit anda mengubah rumah anda kepada mahligai idaman.

Atau sekiranya anda ingin teruskan, jangan lupa untuk laburkan juga kepada sistem penggera keselamatan.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah