5 Sebab Kajang Adalah Kawasan Ideal Beli Rumah Tahun Ini | HARTABUMI
Hasil carian anda

5 Sebab Kajang Adalah Kawasan Ideal Beli Rumah Tahun Ini

Review Kawasan Kajang Pr1ma Kajang Utama Hartabumi 000

Dipos oleh Aezhad pada April 11, 2019
| 0

Siapa sangka bandar Kajang yang terletak di selatan negeri Selangor dahulunya hanyalah sebuah pekan kecil bagi perlombongan biji timah tetapi kini telah berubah menjadi antara lokasi hartanah yang mempunyai potensi pelaburan besar di Selangor.

Terletak sekitar 21 KM dari ibu negara Kuala Lumpur dan 17 KM dari Putrajaya, lokasi bandar Kajang boleh dikatakan amat strategik kerana kedudukannya yang tidak jauh dari bandar-bandar besar lain ditambah pula dengan akses ke lebuhraya yang begitu mudah.

Kredit : Springer Link

Bagi mereka yang kurang mengenali bandar ini secara mendalam pasti mengetahui serba sedikit akan kewujudan Kajang dek kerana makanan paling popularnya iaitu Sate Kajang.

Tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu. Jika ditanya kepada generasi yang berumur sekitar 40 tahun hingga 50 tahun pada hari ini, rata-rata pasti menyatakan sedikit kekesalan kerana tidak menyedari potensi hartanah di bandar Kajang.

Kredit : Portal MPKJ

Bandar ini telah membangun dengan begitu pesat sehingga menjadi lokasi tumpuan bagi para pembeli hartanah untuk dijadikan sebagai pelaburan dan juga rumah kediaman.

Dengan jumlah penduduk sekitar 800,000 orang, bandar Kajang tersenarai sebagai bandar ketiga yang mempunyai penduduk paling ramai di Malaysia. Dengan kapasiti penduduk sebegini besar, ia membuatkan banyak pembangunan serta kemudahan telah dibina bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Jaringan Pengangkutan & Akses Lebuhraya

Jaringan pengangkutan awam yang disediakan di Kajang boleh disifatkan sebagai cukup lengkap serta efisien.

Kredit : Paultan

Kemudahan perkhidmatan Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 KM adalah contoh terbaik di mana dalam bandar Kajang ini sendiri terdapat 5 buah stesen MRT telah dibina bagi memenuhi keperluan pengangkutan penduduknya.

Mod pengangkutan ini memberikan satu kelebihan kepada penduduk Kajang kerana tidak perlu lagi bersesak dalam ‘jem’ sehingga merugikan masa berjam-jam di atas jalan raya hanya untuk ke tempat kerja.

Yang terkini, projek MRT2 laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pula sedang dalam pembinaan. Ini bermakna, penduduk bandar Kajang akan mempunyai kemudahan akses untuk pergi ke lebih banyak tempat selepas ini menggunakan perkhidmatan MRT.

Dalam masa yang sama juga, bandar Kajang merupakan salah satu kawasan yang mempunyai kemudahan stesen keretapi KTM.

Kredit : YouTube

Pendek kata, penduduk Kajang sebenarnya sangat beruntung kerana mempunyai banyak pilihan perkhidmatan awam untuk digunakan bagi perjalanan mereka.

Dari segi jaringan lebuhraya, bandar Kajang memberikan anda akses yang mudah bagi perjalanan ke mana-mana sahaja. Antara lebuhraya yang tersedia ialah:

  1. Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
  2. Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK)
  3. Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)
  4. Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)

Perjalanan dari Kajang menuju ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa sekitar 30 minit melalui lebuhraya PLUS. Jika anda mahu menuju ke selatan, masa perjalanan dari Kajang ke Seremban adalah kurang dari 45 minit dan perjalanan Kajang ke Melaka pula sekitar 1 jam 30 minit sahaja.

Kredit : Twitter

Jarak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA & KLIA2) juga tidak begitu jauh dari Kajang. Dengan melalui lebuhraya PLUS dan ELITE, tempoh anggaran masa adalah kira-kira 30 minit.

Hiburan/Gaya Hidup Moden

Sudah menjadi satu kewajipan kepada mana-mana pembeli hartanah untuk membuat penilaian terhadap hiburan serta kualiti gaya hidup yang ditawarkan terlebih dahulu.

Penduduk Kajang sangat bertuah kerana mempunyai pelbagai pilihan pusat membeli belah seperti Plaza Metro Kajang, Metro Point Complex, DeCentrum Mall dan juga IOI City Mall.

Kredit : IOI City Mall

Mereka tidak lagi perlu bersusah payah ke Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar lain kerana pusat membeli belah yang dibina di sini berkelas dunia bahkan ramai penduduk dari Kuala Lumpur sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli belah di IOI City Mall.

Kajang juga mempunyai banyak destinasi pilihan bagi ‘short getaway’ di hujung minggu. Tidak kira sama ada anda sudah berkeluarga, bujang atau baru sahaja mendirikan rumah tangga, hiburan yang ditawarkan bersesuaian untuk pelbagai lapisan umur.

Kredit : Harian Metro

Kredit : Harian Metro

Anda mempunyai pilihan untuk lari daripada kehidupan hiruk pikuk di bandar dengan berhibur bersama keluarga dan juga rakan-rakan di Sungai Gabai, Sungai Pangsun, Sungai Congkak dan Sungai Tekala.

Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak pergi ke Ostrich Wonderland yang terletak di Semenyih sebagai hiburan bersama keluarga.

Kredit : WordPress

Kredit : Asha

Buat peminat tegar ‘hiking’, anda boleh sahaja pergi ke Gunung Nuang atau Bukit Broga sebagai aktiviti sihat di hujung minggu di samping menikmati keindahan pemandangan matahari terbit.

Tidak lupa juga kepada penduduk yang lebih meminati gaya hidup moden seperti ‘kaki golf’ di mana terdapat beberapa kemudahan padang golf yang mudah untuk diakses.

Kredit : RHB Bank

Kredit : Golf Asian

Antaranya adalah Sungai Long Golf & Country Club, Bangi Golf Resort, Bukit Unggul Country Club dan Kelab Golf Danau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hab Pendidikan Masa Depan

Terdapat banyak pusat pendidikan tinggi yang disediakan di bandar Kajang atau yang terletak berhampiran dengannya seperti:

Kredit : UNITEN

1. Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL)
2. Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
3. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
5. Universiti Putra Malaysia (UPM)
6. Malaysia France Institute, UniKL (MFI)
7. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
8. Kolej New Era
9. Kolej Profesional Mara Beranang

Kemudahan Kesihatan Yang Lengkap

Tidak lengkap sesebuah bandar sekiranya tidak mempunyai kemudahan perkhidmatan kesihatan yang bagus. Dalam aspek ini, Kajang menjanjikan anda dengan pelbagai pilihan pusat rawatan sama ada klinik kesihatan kerajaan, hospital kerajaan mahu pun hospital swasta.

Walaupun Hospital Kajang yang dibina seawal tahun 1889 merupakan hospital tertua di Selangor, namun infrastruktur serta kemudahan yang ditawarkan adalah cukup lengkap.

Bagi yang mahu mendapatkan rawatan di hospital swasta pula, di sini terdapat beberapa pilihan seperti Kajang Plaza Medical Centre, Putra Specialist Hospital dan KPJ Kajang Specialist.

Kredit : Smart i Malaysia

Anda juga mempunyai pilihan untuk pergi ke Hospital Islam Az-Zahrah dan Hospital Pakar An-Nur di Bandar Baru Bangi yang terletak hanya beberapa kilometer dari pusat bandar Kajang.

Prospek Hartanah Masa Depan

Melihat kepada segala perkhidmatan dan kemudahan yang tersedia, bandar Kajang adalah sangat sesuai buat anda yang masih tercari-cari untuk dijadikan sebagai lokasi pilihan rumah kediaman.

Dengan harga hartanah yang masih relevan dan juga lebih rendah berbanding bandar-bandar besar lain, hartanah di Kajang boleh disifatkan mempunyai potensi besar untuk dijadikan sebagai pelaburan. Jadi, tunggu apa lagi? Pilihan kini di tangan anda!

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah