Belanjawan 2021: Apa Yang Pembeli Rumah Akan Dapat? | HARTABUMIHARTABUMI
Hasil carian anda

Belanjawan 2021: Apa Yang Pembeli Rumah Akan Dapat?

Zafrul Belanjawan 2021

Dipos oleh Muzammil pada Januari 7, 2021
| 0

Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz pada 6 November lepas merupakan belanjawan terbesar yang pernah diumumkan oleh kerajaan.

Dengan peruntukan sebanyak RM322.5 billion atau 20.6% peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK), ia dirangka untuk satu tujuan: merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki kualiti kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi pada zaman wabak Covid-19 ketika ini.

Secara asasnya dalam belanjawan 2021, terdapat empat pengumuman yang berkait dengan sektor hartanah:

1. Pengecualian penuh duti setem terhadap suratcara pindah milik (memorandum of transfer, MOT) dan perjanjian pinjaman untuk pembelian rumah pertama yang berharga RM500,000 dan ke bawah bermula Januari 2021 sehingga Disember 2025.

2. Pengecualian penuh duti setem terhadap MOT dan perjanjian jual beli kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025.

3. Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk membina rumah selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah di mana:

  • RM500 juta untuk pembinaan 14,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR)
  • RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad
  • RM125 juta untuk penyelenggaraan perumahan bersrata kos rendah dan sederhana rendah serta membaik pulih rumah usang dan kerosakan akibat bencana alam
  • RM310 juta untuk Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)

4. Skim Rent-To-Own untuk 5,000 unit rumah PR1MA yang dikhaskan untuk pembeli rumah pertama. Ia akan dilaksanakan sehingga tahun 2022 dengan nilai keseluruhan lebih RM1 bilion.

Belanjawan 2021 mesra pembeli rumah pertama

Susulan pengumuman empat dasar ini dalam belanjawan 2021, pemegang taruh sektor hartanah tempatan rata-ratanya memuji kerana impak positifnya dalam mengurangkan kos yang bakal ditanggung oleh pembeli rumah pertama. tetapi ada juga yang mengharapkan lebih banyak inisiatif untuk merangsang permintaan pasaran yang ketika ini masih lagi lemah.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia, Datuk Soam Heng Choon memberitahu Belanjawan 2021 merupakan belanjawan yang mesra pembeli rumah.

Sebelum ini hanya rumah dalam lingkungan harga RM300,000 hingga RM2.5 juta yang dikecualikan duti setem. Sekarang ia diperluaskan kepada rumah berharga RM500,000 ke bawah pula. Kami percaya ia dapat memberi manfaat kepada ramai rakyat yang mungkin belum memiliki rumah sendiri, terutamanya golongan B40 dan M40.”

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah (HBA) Kebangsaan, Datuk Chang Kim Loong pula berpendapat tindakan kerajaan melindungi pembeli rumah terbengkalai sangatlah dialu-alukan.

“Selama bertahun-tahun, suara mangsa projek perumahan terbengkalai tidak terbela. Tetapi Belanjawan 2021 akhirnya telah menjawab rintihan mereka.

“Pengecualian duti setem terhadap kontraktor penyelamat yang akan menyiapkan projek perumahan terbengkalai ini dapat meringankan beban pembeli.”

Datuk Chang turut mengalu-alukan lanjutan pengecualian duti setem terhadap MOT dan perjanjian pinjaman untuk pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000. Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas.

“Ia dapat membantu mereka menjimatkan lebih RM10,000 kos duti setem, jika mereka mendapat pinjaman 90% daripada bank,” tambahnya lagi.

Presiden Institut Agensi Hartanah Malaysia (MIEA), Lim Boon Ping pula berpendapat Belanjawan 2021 kehilangan satu kompenen penting.

“(Belanjawan 2021) tidaklah akan merangsang sangat permintaan pasaran. Ia lebih kepada langkah kerajaan untuk terus membantu pembeli rumah pertama.

“Kami mengharapkan lebih banyak penekanan akan diberikan kepada langkah merangsang permintaan pasaran. Contohnya memperluaskan pengecualian duti setem terhadap pasaran rumah subsale (rumah terpakai).”

Bank-bank Malaysia tawar bantuan bersasar

Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) pula mengumumkan ahli-ahlinya akan menambah baik inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021 dengan memperkenalkan bantuan bayaran semula bersasar.

“Bantuan bayaran semula bersasar ini terbuka kepada peminjam perumahan dalam kalangan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan pemilik bisnes mikro.

“Peminjam yang layak boleh memilih antara dua pilihan: penangguhan bayaran pinjaman perumahan selama tiga bulan; atau pengurangan bayaran pinjaman perumahan sebanyak 50% selama enam bulan – semuanya bermula 1 Disember 2020 hingga Jun 2021.

Menurut ABM, bantuan bersasar ini hanya tertakluk untuk pinjaman yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak mempunyai rekod pembayaran ingkar melebihi 90 hari dari tarikh permohonan.

Sumber:

  1. https://www.treasury.gov.my/pdf/bajet/ucapan/ub21.pdf
  2. https://www.hihome.asia/news/senarai-bantuan-kerajaan-yang-bantu-anda-beli-rumah-pertama-2020
  3. Featured image: MOHD RASFAN/AFP via Getty Images

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah