Beli Rumah? Apa beza Diskaun vs Rebat vs Cashback | HARTABUMIHARTABUMI
Hasil carian anda

Beli Rumah? Apa beza Diskaun vs Rebat vs Cashback

Beli Rumah 02

Dipos oleh myhartabumi pada Januari 22, 2018
| 0

Apabila kita dalam proses mencari rumah idaman, pastinya kita dikaburi dengan pelbagai tawaran-tawaran menarik seperti diskaun, rebat dan juga ‘cashback‘ daripada pihak pemaju.

Ada yang berikan diskaun yang tinggi, ada yang tawarkan rebat yang berbaloi dan tidak kurang juga yang tawarkan ‘cashback‘ sehingga berpuluh ribu.

Jadi, apa bezanya diskaun, rebat dan ‘cashback‘ ni?

1. Diskaun

Diskaun adalah yang paling mudah difahami. Sebagaimana kita terima diskaun bila membeli-belah, sebegitulah diskaun untuk hartanah.


Contoh : Rumah RM500,000 | 10% Diskaun

Harga asal : RM500,000
Jumlah diskaun : RM50,000

Harga SPA : RM450,000
Deposit (10%) : RM45,000
Jumlah pinjaman : RM405,000


Harga yang tertera pada perjanjian SPA adalah selepas penolakan diskaun yang anda terima.

2. Rebat

Biasa kita terbaca iklan beli rumah tapi 0 ‘downpayment’? Inilah apa yang pemaju lakukan, dengan pemberian rebat.

Untuk rebat, pengiraannya sedikit berbeza. Berbeza dengan diskaun, harga yang ditulis di atas SPA adalah tanpa penolakan rebat.


Contoh : Rumah RM500,000 | 10% Rebat

Harga asal : RM500,000
Jumlah rebat : RM50,000

Harga SPA : RM500,000
Deposit (10%) : percuma
Jumlah pinjaman : RM450,000


Beza pemberian rebat dengan diskaun adalah pada harga SPA yang anda tandatangani. Sekiranya sebelum ini pembeli terpaksa menyediakan 10% deposit, kali ini pemaju berikan diskaun dengan cara menghapuskan pembayaran deposit itu tadi.

Dengan cara ini, lebih ramai yang mampu memiliki rumah tanpa perlu menyediakan wang tunai yang banyak untuk deposit. Tetapi anda harus ingat, jumlah pinjaman bank anda akan turut meningkat dengan cara ini.

Beza Diskaun Vs Rebat Vs Cashback

3. Cashback

Cashback‘ secara dasarnya menggunakan teknik seumpama dengan rebat. Satu-satunya perbezaan adalah pada nilai sebenar yang diterima pemaju. Dan kebiasaannya, ‘cashback‘ diberi sekali dengan pemberian rebat.


Contoh : RM500,000 | 10% Rebat | 5% ‘Cashback’

Harga asal : RM500,000
Jumlah Rebat : RM50,000
Jumlah ‘cashback‘ : RM25,000

Harga SPA : RM500,000
Deposit (10%) : percuma
Jumlah pinjaman : RM450,000
Jumlah diterima pemaju : RM425,000


Sekiranya anda perhatikan, beza contoh yang kami berikan antara rebat dan ‘cashback’ adalah pada jumlah yang diterima pemaju. Apa ertinya?

Ertinya, anda membeli rumah dengan harga RM500,000 untuk sebuah rumah yang bernilai RM425,000. RM450,000 daripada jumlah pinjaman anda itu tadi, pihak pemaju berikan semula kepada anda RM25,000 sebagai ‘cashback’.

Hal ini dilakukan pemaju bagi menarik minat pembeli disebabkan nilai wang ringgit yang anda terima tersebut boleh digunakan bagi anda membeli sedikit sebanyak kelengkapan perabut rumah serta renovasi ringan seperti kabinet dapur.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah