Cara Tuntut Harta Sepencarian (Bahagian 1) | HARTABUMI
Hasil carian anda
Cara Tuntut Harta Sepencarian

Dipos oleh myhartabumi pada Oktober 10, 2017
| 0

Tak ada orang yang nak berkahwin untuk bercerai. Tetapi disebabkan keadaan, suami isteri terpaksa menamatkan perkahwinan. Juga termasuk individu yang kematian suami/isteri dan pasangan yang ingin berpoligami. Golongan ini kebanyakannya masih tak tahu tentang hak harta sepencarian.

Kita fahamkan dulu maksud harta sepencarian. Menurut undang-undang, harta sepencarian terdiri daripada:

    • semua aset yang diperoleh selepas pasangan berkahwin
    • aset yang diperoleh sebelum berkahwin tetapi dihidupkan atau dipanjangkan selepas pasangan berkahwin

Harta sepencarian boleh dituntut di Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Dalam menentukan pembahagian, mahkamah lazimnya akan mengambil kira sumbangan pihak-pihak dalam pemilikan harta itu. Sekiranya sumbangan bersifat sama rata, mahkamah akan membahagikan secara sama rata.

Sumbangan terdiri daripada dua bentuk:

  • sumbangan langsung berupa kewangan
  • sumbangan tidak langsung berupa perhatian dalam rumahtangga seperti menjaga kebajikan, keharmonian, dan keperluan keluarga

Sumbangan perlu didatangi BUKTI kerana mahkamah tidak akan melayan permintaan kosong. Pada akhirnya, mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan bukti dan alasan-alasan yang logik sambil merujuk kes-kes yang terdahulu.Mengikut ragam dan kes masing-masing, proses tuntutan boleh menjadi sangat rumit. Sebab itulah individu dinasihatkan untuk mengambil khidmat Peguam Syarie kerana mereka lebih arif menangani isu ini.

Hartabumi selitkan sebuah kes tuntutan harta sepencarian supaya lebih mudah untuk faham dan untuk anda nilai sendiri betapa rumitnya proses ini. Soalan-soalan lazim berkenaan kes ini dijawab sendiri oleh Peguam Syarie, Ahmad Tarmizi Jusoh.

    • Setelah 11 tahun perkahwinan, si isteri telah keluar dari rumah tanpa izin suami atas dua sebab iaitu diserang secara fizikal dan setelah mengetahui kecurangan suami yang telah diakui oleh beliau sendiri.
    • Rumah yang isteri tinggalkan itu masih didiami oleh suami sehingga sekarang.
    • Isteri telah menuntut cerai taklik dan sekarang masih di dalam proses perbicaraan mahkamah.
    • Rumah tersebut dibeli oleh isteri semasa tahun ke-3 perkahwinan di bawah nama isteri seorang dan melalui potongan gaji isteri seorang.
    • Sewaktu perkahwinan, suami pernah menyumbang sebanyak 2 kali pengeluaran KWSP beliau untuk membiaya sedikit pinjaman rumah tersebut.

1. Adakah rumah tersebut dikira sebagai hak sepencarian atau hak isteri seorang memandangkan isteri yang membeli rumah tersebut setelah mereka berkahwin?

Rumah tersebut dikira sebagai harta sepencarian kerana ia dibeli sewaktu tempoh perkahwinan. Tidak kira sama ada harta itu diletakkan nama seorang saja (sama ada atas nama suami atau isteri). Pokoknya, ia dibeli selepas kahwin. Selagi suami terlibat dalam proses membeli harta tersebut, beliau akan dapat bahagian.

2. Berapa banyakkah bahagian suami akan dapat?

Mahkamah yang akan menentukan bahagiannya. Bahagiannya berbeza mengikut fakta kes dan pembuktian di Mahkamah. Jika suami nak tuntut bahagian, beliau kena buktikan sumbangannya dengan menunjukkan penyata pengeluaran wang dari EPF tersebut. Bukti ini cukup penting. Jika tak ada bukti, besar kemungkinan Mahkamah akan tolak. Melainkan suami seorang suri rumah, nak tuntut sumbangan tak langsung seperti menjaga anak di rumah dan sebagainya lebih susah daripada tuntuan tak langsung yang dibuat isteri.

3. Bagaimana jika suami ada bukti sumbangan terhadap pembelian harta tersebut?

Mahkamah akan membenarkan suami menuntut wang yang dikeluarkan dan mungkin akan membenarkan suami untuk memperoleh peratusan untung dari rumah tersebut berdasarkan ratio sumbangannya.
Katakan harga rumah RM120,000. Suami keluar wang KWSP RM30,000. Rationya mungkin 25:75. Ini bergantung kepada hujah peguam suami di Mahkamah.

4. Bagaimana jika suami terlupa atau tak nak tuntut?

Isteri tiada masalah untuk mengambil tindakan seterusnya untuk rumah tersebut memandangkan rumah tersebut memang dibeli atas nama isteri. Tiada dokumen yang memerlukan tandatangan suami sekiranya rumah ingin dijual atau sebagainya.

5. Bagaimana jika perintah mahkamah mengatakan suami berhak dapat 30% daripada nilai harta?

Kena buat penilaian harta. Jika nilai rumah yang dibeli sekarang berharga RM150,000, bermakna 30% dari RM150,000 = RM45,000 dan harus dibayar secara tunai. Jika tiada wang tunai, rumah berkenaan perlu ‘refinance’ sebagai jalan penyelesaian.
Ini sekiranya hutang rumah sudah habis bayar.
Jika belum habis bayar, katakan nilai semasa rumah RM150,000, tolak RM100,000 (hutang dengan bank), maka bakinya RM50,000. 30% daripada RM50,000 ialah rumah RM15,000. Maka bahagian suami ialah RM15,000.
Apa-apa pun, mahkamah akan memutuskan sesuatu kes berdasarkan bukti dan alasan-alasan yang logik sambil merujuk kes-kes yang terdahulu. Jadi bukti serta sokongan hujah daripada Peguam Syarie amatlah penting dalam proses tuntutan harta sepencarian.

Untuk Bahagian dua, kami akan bawakan pencerahan untuk kes dimana rumah pasangan yang bercerai dibeli melalui ‘joint loan’ atau pembelian rumah atas dua nama.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah