Hasil carian anda

Harapan Baru Buat Perumahan Di Malaysia?

Dipos oleh Fatin pada Jun 12, 2018
| 0

Artikel ini dikarang oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hartabumi, Radzi Tajuddin dan telah disiarkan oleh Berita Harian.

Kerajaan baru, Malaysia baru, adakah industri perumahan di Malaysia akan baru juga?

Setakat ini, ya. Apa yang barunya?

HARGA RUMAH TURUN

Pertama, harga rumah akan turun. Keputusan kerajaan mengsifarkan kadar cukai GST telah membuatkan pemaju  menurunkan harga rumah mereka.

Berapa banyakkah penurunan harga yang bakal berlaku? Kemungkinan sehingga 4%. Ini kerana GST menyumbang 2% ke 4% kepada kos membina rumah. Meletakkan kadar GST pada 0% seharusnya dapat mengurangkan kos ini.

Pemaju seperti Hillcrest Gardens telah serta merta menurunkan harga rumah mereka di Puchong sebanyak 3% tanpa perlu menanti 1hb Jun 2018. Yang menariknya adalah, Hillcrest Gardens merupakan sebahagian daripada Kuok Group iaitu pengasasnya, Rober Kuok adalah salah seorang daripada tokoh yang dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

Harapan Baru Buat Perumahan Di Malaysia Hartabumi 01

Kredit: Property Guru

Tetapi, adakah penurunan harga rumah ini berkekalan? Kemungkinan tidak. Ini kerana tempoh dua tiga bulan ini merupakan tempoh ‘cuti cukai’ (tax holiday) sebelum pengenalan cukai SST.

Oleh yang demikian, ini merupakan masa terbaik untuk mencari dan membeli rumah impian anda. Apatah lagi dalam keadaan keyakinan orang ramai dan pasaran yang sedang meningkat.

PEMAJU SEMAK PROJEK MEREKA

Kedua, kita bakal menyaksikan pemaju-pemaju yang mempunyai projek perumahan yang bersangkut paut dengan projek mega seperti MRT 3, High Speed Rail (HSR), Bandar Malaysia menyemak kembali projek mereka.

Ini kerana projek perumahan tersebut dibina dan dijual bersandarkan kepada kekuatan dan daya lonjakan (booster) projek-projek tersebut. Kerajaan baru pula menetapkan untuk menilai kembali atau terus membatalkan projek-projek mega ini.

Tanpa projek tersebut, apakah faktor penarik kepada produk-produk perumahan yang berdekatan?

Kenapa Lokasi Perkara Terpenting Sebelum Beli Rumah Hartabumi 01

Kredit: NX Digital

Oleh itu, pemaju akan menyemak dan mengubah produk mereka. Contohnya, jika projek perumahan mereka adalah unit studio yang menyasarkan golongan professional bekerja di Bandar Malaysia, kemungkinan pemaju akan mengubah kepada unit tiga bilik yang besar untuk didiami keluarga.

RUMAH MAMPU MILIK DI BAWAH SATU UNIT

Ketiga, agenda pembinaan rumah mampu milik akan menjadi lebih mudah, cekap dan patnas. Mengapa? Ini ekoran cadangan Menteri Perumahan (KPKT) baru, YB Zuraida Kamaruddin bahawa semua projek perumahan, termasuk yang dikendalikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), diletakkan di bawah satu bumbung.

Walaupun mempunyai sebuah unit khusus tidak semestinya bagus seperti mana pemusatan kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini, tetapi dalam hal perumahan ianya telah terbukti di Singapura dan Hong Kong.

Lama Lagi Ke Urusan Perjanjian Jual Beli (spa) Saya Nak Selesai Hartabumi 01

Kredit: One Impian

Tambahan pula dengan meletakkan kesemua agensi tersebut di bawah satu unit, ia akan mewujudkan ‘economy of scale’ di mana unit tersebut boleh mendapatkan harga terbaik serta memastikan tiada pertindihan kuasa.

Pada masa yang sama ia mampu mengelakkan dari wujudnya produk perumahan mampu milik yang salah dan tidak tepat kepada golongan sasar sebagaimana yang berlaku sekarang kerana mereka mempunyai set data yang berbeza-beza.

TIADA LAGI AKTIVITI KUMPUL BANK TANAH

Keempat, pemaju sudah tidak lagi boleh berbelanja sakan membeli tanah hanya untuk mengumpul bank tanah mereka.

Kerajaan baru dalam manifesto mereka telah menggariskan janji bagi mengelakkan aktiviti pengumpulan bank tanah di kalangan pemaju mahupun mana-mana pihak.

Perkara ini adalah antara punca mengapa kurangnya tanah bagi membina rumah mampu milik di lokasi yang bagus. Pemaju-pemaju telah membeli tanah (kebiasaannya berstatus pertanian pada saiz yang luas) dan kemudian menyimpannya bertahun-tahun lamanya. Mereka boleh berbuat demikian kerana mempunyai kapasiti kewangan yang tinggi.

Harapan Baru Buat Perumahan Di Malaysia Hartabumi 03

Kredit: GilaHartanah

Walaubagaimanapun perkara ini tidak baik bagi memenuhi agenda perumahan mampu milik kerana tanah aadalah komiditi yang terhad.

Sekiranya pemaju telah membeli tanah tersebut, mereka seharusnya memajukan tanah tersebut dalam satu tempoh masa yang munasabah. Jika tidak, tanah tersebut perlu dijual kembali atau dikenakan denda. Sama ada ‘use it’ atau ‘lose it’.

Di United Kingdom, Tesco mempunyai tanah di 310 kawasan yang tidak dibina sebuah pasaraya Tesco pun dan saiz tanah ini mampu membina 15,000 unit rumah mampu milik.

Kemungkinan perkara yang sama boleh terjadi di Malaysia dan untuk itu cadangan kerajaan baru untuk melihat perkara ini haruslah disambut baik.

KELULUSAN PINJAMAN LEBIH TINGGI

Kelima, kadar kelulusan pinjaman perumahan akan menjadi lebih baik.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata kadar kelulusan pinjaman rumah yang rendah merupakan antara perkara yang akan dibawa oleh kementeriannya kepada perhatian Bank Negara Malaysia.

Kita semua sedia maklum bahawa tidak ada gunanya kerajaan menyediakan sejuta rumah mampu milik jika pembeli gagal mendapatkan pinjaman perumahan. Dianggarkan sehingga 60% pemohon telah gagal mendapatkan pinjaman ekoran pelbagai faktor.

Dalam hal ini bank hanya menuruti peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dalam menilai profil kredit pembeli. Namun, situasi dan zaman telah berubah.

Harapan Baru Buat Perumahan Di Malaysia Hartabumi 04

Kredit: BNM

Misalnya, cara pendapatan yang diperolehi oleh orang ramai telah berubah dan tidak hanya bergantung melalui pekerjaan sepenuh masa. Mereka yang membawa Grab, menjadi penghantar makanan Food Panda dan pekerja sambilan di pelbagai platform ‘gig economy’ mempunyai pendapatan yang tinggi. Tetapi pendapatan mereka tidak diiktiraf.

Ini termasuklah mereka yang berniaga online secara sambilan. Justeru, mekanisme kelayakan penberian pinjaman perumahan perlulah memgambil kira situasi ini.

Dalam dunia yang bergerak ke arah teknologi kewangan (fintech), terdapat pelbagai cara untuk pihak bank menilai kemampuan bayaran balik peminjam dan menentukan profil kredit orang ramai dengan lebih adil dan tepat.

Dapatkan peratus DEBT SERVICE RATIO (DSR) Anda dan Senarai Hartanah Mengikut Gaji Anda bersama Hartabumi!

Klik sini :http://dsr.hartabumi.com/

Footer Dsr

Lagi Artikel Hartanah


Langgan Info Terkini

Komen Anda?

Sertai Kami Sekarang

Untuk Mengetahui Maklumat Berkenaan Hartanah Di Malaysia.
Maklumat Anda
LANGGAN SEKARANG
close-link

Bandingkan Hartanah