Hasil carian anda

Hartanah Di Sekitar MRT Hanya Untuk Golongan Kaya?

Dipos oleh Aezhad pada Disember 5, 2018
| 0

Kawasan perumahan di sekitar stesen MRT hanya mampu dimiliki golongan kaya? Ini susulan daripada satu laporan yang telah dikeluarkan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang menyatakan harga rumah di sekitar stesen MRT adalah di luar kemampuan golongan B40 dan M40.

Baca : Inisiatif KPKT, Solusi Pemilikan Rumah M40 B40?

Ini bukanlah satu perkara yang sangat mengejutkan ramai pihak kerana apa sahaja bentuk unit kediaman atau hartanah yang terletak berdekatan dengan sebarang kemudahan pasti akan mengalami kenaikan harga.

Kredit: Brad Erva Doce

Begitu juga dengan jaringan pengangkutan awam seperti MRT. Nilai pasaran hartanah sekitarnya telah meningkat naik sehinggakan matlamat asal MRT dibina untuk memberi kemudahan kepada golongan B40 dan M40 telah tersimpang jauh.

Memang tiada langsung ke rumah untuk golongan B40 dan M40?

Berdasarkan kajian ini, golongan B40 sememangnya tidak mampu untuk memiliki rumah dalam lingkungan satu kilometer dari stesen-stesen MRT di laluan SBK. Bagi golongan M40 pula, daripada 31 stesen di sepanjang laluan SBK, hanya 8 stesen yang mempunyai rumah dengan harga yang mampu dimiliki.

Kredit: Kuala Lumpur Press
 

8 stesen ini adalah kawasan yang berhampiran Kajang iaitu stesen MRT Kajang, Stadium Kajang, Batu Sebelas Cheras, Bandar Tun Hussein Onn, Sri Raya, Taman Connaught, Taman Pertama dan Maluri.

Baca : 7 Kawasan Hotspot MRT Untuk Anda

Menurut Cent-GPS lagi, kawasan perumahan yang terletak di sekitar stesen MRT Pusat Bandar Damansara telah mencatatkan harga rumah paling mahal dengan harga median kira-kira RM4 juta!

Siapa yang mampu untuk beli rumah harga seperti ini? Berdasarkan kajian tersebut, harga rumah RM4 juta ini sebenarnya hanya mampu dimiliki oleh 1% rakyat Malaysia sahaja.

“Paling menarik perhatian ialah harga median rumah di Sungai Buloh dan Taman Mutiara yang terlalu tinggi. Stesen-stesen ini bukanlah berada di dalam kawasan kejiranan mewah tetapi pembangunan baru di sekitar stesen MRT yang melibatkan rumah berkembar dan banglo tidak mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40,”

ujar Pengarah Cent-GPS, Zaidel Baharuddin.

Melihat kepada kenaikan harga hartanah di sekitar stesen MRT, timbul persoalan adakah perkhidmatan MRT ini dibangunkan untuk golongan kaya di Malaysia sahaja?

Kredit: The Malaysian Reserve

Hal ini kerana, di sepanjang laluan MRT SBK, tiada satu stesen pun yang terletak berdekatan dengan projek perumahan mampu milik seperti PR1MA. Bukan itu sahaja, menurut Cent-GPS, hanya sebuah hospital kerajaan yang terletak dalam lingkungan satu kilometer dari stesen di sepanjang laluan MRT SBK.

Baca : Beli Rumah Sekarang Atau Tunggu Dua Tahun Lagi?

Apabila harga hartanah di sekitar MRT melambung tinggi, ia telah memberikan impak yang besar kepada kadar jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT.

Laluan MRT SBK sejak mula dibuka telah merekodkan jumlah penumpang yang jauh lebih rendah daripada sasaran. Sasaran awal jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT SBK ini ialah 250,000 orang. Namun, jumlah penumpang yang berjaya dicatatkan hanya 140,000 orang sehari.

Selain harga rumah yang mahal, rumah yang terletak berdekatan stesen MRT juga dikatakan tidak sesuai bagi mereka yang sudah berkeluarga. Ini kerana kebanyakan rumah yang mampu dimiliki di sekitar stesen MRT adalah bersaiz kecil. Jika mahukan rumah yang lebih besar, harganya juga akan ‘lebih besar’.

Harga rumah melampau tinggi ditambah saiz yang kecil pula, siapa sahaja yang berminat nak beli?

Kerajaan perlulah melihat kepada perkara ini dengan lebih teliti kerana sebanyak RM36 bilion telah dilaburkan bagi pembinaan MRT. Jika situasi ini masih berterusan, usaha untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam adalah sia-sia sahaja.

Kredit: Nizam Yunus

Sekiranya harga rumah dapat dikawal atau pun lebih banyak projek perumahan mampu milik dibina sekitar stesen MRT, kerajaan juga lah yang akan mengaut untungnya kerana jumlah penumpang MRT akan lebih bertambah.

Dan harus diingat juga, kerajaan perlu memikul tanggungjawab mereka bahawa projek nasional seperti MRT ini adalah projek untuk semua rakyat dan bukannya dibina untuk golongan kaya sahaja.

Lagi Artikel Hartanah


Langgan Info Terkini

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah