KPKT Tawar Diskaun Untuk Rumah Mampu Milik Mac Ini | HARTABUMI
Hasil carian anda

KPKT Tawar Diskaun Untuk Rumah Mampu Milik Mac Ini

Diskaun Rumah Mampu Milik Kpkt Zuraida Hartabumi 00

Dipos oleh Aezhad pada Januari 25, 2019
| 0

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pembeli bakal menikmati diskaun bagi rumah siap yang tidak terjual.

Satu ekspo pemilikan rumah mega dilaporkan akan diadakan tidak lama lagi bagi mempamerkan rumah-rumah ‘diskaun’ ini.

Pertama sekali, mengapakah pemberian diskaun ini mahu dilaksanakan? 

Kredit: Twitter

Melihat kepada landskap hartanah di Malaysia pada hari ini, bilangan unit rumah tidak terjual dilaporkan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah (NAPIC), jumlah keseluruhan unit kediaman yang sudah siap tetapi tidak terjual kini mencecah nilai tertinggi RM19.54 bilion.

Pada suku ketiga tahun 2018, unit kediaman tidak terjual yang direkodkan berjumlah sebanyak 30,115 unit. Pada tempoh yang sama tahun 2017 pula, unit kediaman tidak terjual mencatatkan jumlah 20,304 unit.

Infografik : Rumah Tidak Terjual di Malaysia 

Ini bermakna unit kediaman tidak terjual meningkat sebanyak 48.35% hanya dalam tempoh setahun!

Pendek kata, pihak pemaju kini sedang ‘pening kepala’ kerana banyak rumah yang sudah disiapkan mereka namun masih belum berjaya dijual.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sebelum ini juga telah mendesak kerajaan supaya melihat kembali kepada mekanisme pelepasan rumah tidak terjual. REHDA mahu pihak kerajaan negeri supaya melaksanakan pelepasan automatik bagi unit Bumiputera yang tidak terjual.

Hal ini kerana, apabila banyak unit rumah Bumiputera yang tidak terjual, ia telah menjadi satu bebanan kepada pihak pemaju kerana mereka perlu menangung kos pegangan rumah tersebut (holding cost).

Bukan itu sahaja, sebelum ini memang sudah wujud gesaan supaya pemaju menurunkan harga rumah bagi mengurangkan lambakan rumah tidak terjual.

Kredit: Booking

Lambakan rumah yang tidak terjual ini dikatakan sebenarnya datang daripada kesilapan pemaju sendiri juga kerana tidak memahami kehendak pasaran.

Melihat kepada data rumah yang tidak terjual, kebanyakannya adalah unit yang bernilai lebih daripada RM500,000 dengan jumlah keseluruhan 12,000 unit.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling sebelum ini menyatakan bahawa kos pegangan (holding cost) untuk unit-unit yang tak terjual ini telah membebankan kepada pihak pemaju.

Baca : Gamuda Cadang Levi 2% Untuk Kuota Bumiputera

Kos pegangan yang perlu ditanggung pihak pemaju ini dianggarkan sekitar 20% daripada hasil pendapatan keseluruhan syarikat tersebut.

Kredit: The Star

Jadi, pemberian diskaun ini sebenarnya untuk menyelesaikan masalah pemaju atau menyelesaikan masalah pembeli?

Jika kita lihat kepada isu pemilikan rumah di Malaysia, kadar pemilikan rumah hanyalah sekitar 43-44% sahaja setakat suku pertama tahun 2018.

Ini bermakna masih ramai yang tidak memiliki rumah dan rata-rata mereka ini bukanlah tidak mahu membeli rumah sebaliknya berdepan dengan kekangan kewangan kerana harga rumah yang tinggi.

Melalui pemberian diskaun kepada unit rumah tidak terjual, ia dilihat sebagai salah satu langkah ‘serampang dua mata’ bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemaju serta juga pembeli dalam masa yang sama.

Kredit: iProperty

Dengan pelaksanaan ekspo pemilikan hartanah ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan sahaja akan dapat menyelesaikan masalah pemaju tetapi juga memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki rumah pada harga yang lebih murah.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah