MM2H: Bangladesh Antara Negara Dominasi Program MM2H | HARTABUMI
Hasil carian anda

MM2H: Bangladesh Antara Negara Dominasi Program MM2H

Mm2h 01

Dipos oleh Huda Naim pada September 27, 2019
| 0

Selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengemukakan cadangan untuk menjual rumah-rumah mewah tidak terjual kepada warga asing, sepantas kilat juga beliau menerima kecaman.

Kebanyakan pihak menganggap bahawa cadangan tersebut hanya memberi kelebihan kepada warga asing berbanding rakyat sendiri yang masih ramai tidak memiliki kediaman.

Seorang bekas ADUN Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar turut mengecam cadangan Zuraida itu.

Iskandarsamad Www.mstar.com.my

                                         mstar.com.my

Berdasarkan cadangan Zuraida, beliau cuba mengingatkan ahli Parlimen Ampang supaya tidak menjadi berperanan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Hong Kong atau China.

Pada anggapan beliau, cadangan tersebut akan menyebabkan rakyat tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing untuk membeli rumah yang mana persaingan tersebut akan menyebabkan syarikat pemaju berpeluang menaikkan lagi harga rumah.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kebanjiran warga asing di bandar-bandar besar akan menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat setempat.

Selain Iskandar, seorang lagi wakil rakyat yang turut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut adalah ahli Parlimen Kemaman iaitu Che Alias Hamid. Beliau menyatakan bahawa cadangan tersebut akan membuka peluang kepada hartawan dari negara asing untuk dapat keuntungan dalam negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak turut menyindir cadangan tersebut dengan mempersoalkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri untuk rakyat Malaysia atau warga asing dari Hong Kong dan China.

Namun begitu, harus difahami bahawa masalah utama yang berlaku ketika ini adalah lambakan rumah-rumah mewah yang tidak terjual dalam negara dianggarkan bernilai sekitar RM100 bilion.

Bayangkan sebuah sektor yang bernilai RM100 bilion hanya menjadi sebuah projek ‘gajah putih’ yang langsung tidak boleh memberi sebarang manfaat kepada negara kerana gagal dijual.

Lama kelamaan, rumah-rumah mewah ini akan dipenuhi dengan semak samun, tiada penyelenggaraan, tiada pemantauan dan akhirnya terbengkalai, mengalami kerosakan dan seterusnya memburukkan pemandangan.

Pada masa yang sama, selain daripada rumah yang tidak terjual ini, terdapat 140 industri hiliran berkaitan sektor perumahan yang akan menghadapi masalah kerana tiada pergerakan ekonomi yang berlaku.

Jika segmen perumahan ini gagal ditangani segera dari segi jualannya, kesan buruknya adalah berbalik kepada rakyat sendiri. Hal ini demikian kerana syarikat pemaju hartanah berdepan masalah kekurangan dana untuk membantu pihak kerajaan melaksanakan agenda membina perumahan mampu milik kepada kelompok sasaran dalam kalangan penduduk tempatan.

Justeru, cadangan Zuraida tersebut perlu difahami dengan perspektif yang betul dan tidak terikut sentimen ‘baca tajuk sahaja’.

Baca Tajuk Sahaja Gif Giphy

                                          Giphy.com

Apa yang perlu difahami adalah rumah-rumah yang ditawarkan kepada warga asing adalah kategori premium dengan harga lebih RM1 juta. Jadi soalan yang perlu dijawab adalah berapa ramai rakyat tempatan yang sedang bersaing dengan warga asing untuk membeli rumah dengan nilai setinggi ini?

Kemudian tawaran kepada warga asing ini bukan semudah yang kita bayangkan. Benar, tawaran tersebut dibuat melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) untuk menarik minat warga asing tinggal di negara ini.

Image Mm2h Orig Propertyhome.com.my

                                        Google.com

Namun begitu, selain daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), terdapat dua lagi kementerian yang akan turut dilibatkan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak, warga asing yang berminat tinggal di Malaysia melalui MM2H perlu menjalani saringan rapi di bawah kendalian KDN termasuklah untuk membeli rumah.

Tujuannya adalah untuk memastikan tiada individu yang memanipulasi program tersebut untuk kepentingan tertentu sehingga mengundang risiko kepada keselamatan negara.

Selain itu, syarat yang dikenakan adalah memiliki visa dengan tempoh tinggal di Malaysia hanya 10 tahun. Namun begitu, semakan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Satu perkara lagi adalah warga asing itu juga perlu meletakkan wang deposit sebanyak RM3 juta dalam bank.

Perkara ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila beliau memberi jaminan bahawa tiada status kewarganegaraan dalam bentuk MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR) akan diberikan kepada warga asing yang membeli rumah di bawah MM2H.

Maka tiada isu sebenarnya berbangkit mengenai lambakan warga asing dalam negara berdasarkan kepada syarat-syarat yang ketat dikenakan.

Sebenarnya MM2H bukanlah program baharu sebaliknya telah diperkenalkan sejak tahun 2002. Tetapi pada waktu itu, program ini turut dikenali sebagai ‘Program Rambut Perak’ dengan mensasarkan kepada warga Jepun dan United Kingdom sebelum dikembangkan kepada warga di negara-negara yang lain.

Antara tahun 2002 sehingga 2018, permohonan untuk menyertai MM2H yang telah diluluskan adalah sebanyak 43,943 orang dari 131 negara. Berdasarkan ranking, China mendahului sebanyak 13,892 pemohon, diikuti Jepun (4,882), Bangladesh (4,187), United Kingdom (2,729) dan Korea Selatan (2,568), Hong Kong (1,087). Cuma sejak tahun 2017, dilaporkan bahawa permohonan dari Hong Kong telah meningkat sebanyak 20 peratus.

Betapa pentingnya peranan MM2H kepada pertumbuhan ekonomi negara telah terbukti apabila dalam tempoh 2007 hingga 2018, program ini menyumbang pendapatan sebanyak RM18.345 bilion melalui pelbagai bentuk seperti jualan dan sewaan hartanah, deposit tetap, perubatan, pendidikan dan sebagainya.

Terbukti Berjaya Gif Giphy

                                             Giphy.com

Melalui cadangan Zuraida dan disertai kerjasama antara tiga kementerian tersebut, ternyata kesan positif yang ingin dicapai bukan lagi hanya sekadar memastikan masalah rumah mewah yang tidak terjual dapat ditangani tetapi juga membawa kesan limpahan lain yang mana akan membuka peluang pekerjaaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah