Penguatkuasaan Sekatan Rumah Kos Rendah. | HARTABUMI
Hasil carian anda

Penguatkuasaan Sekatan Rumah Kos Rendah.

Template Feature Image 22 01

Dipos oleh Nasruddin pada September 23, 2019
| 0

Dianggarkan hampir mencecah 1 juta permohonan dibuat untuk rumah kos rendah di seluruh negara pada tahun 2014 hingga ke 2018.

Peningkatan permohonan adalah berkadar terus dengan populasi rakyat Malaysia yang kini sudah hampir 32.6 juta orang.

Kos sara hidup dan harga keperluan asas yang tinggi mendorong kepada peningkatan permohonan rumah kos rendah.

Umumnya, hanya golongan B40 sahaja yang layak untuk memohon.

Rumah kos rendah diperuntukkan oleh setiap kerajaan negeri untuk rakyat negeri masing-masing dan juga kepada mereka yang sudah bermastautin di negeri tersebut.

Pelbagai syarat kelayakan ditambah untuk memastikan saringan ketat dibuat dan hanya mereka yang layak sahaja akan diberikan keutamaan.

Di Selangor, rumah kos rendah jenis A merupakan yang paling murah iaitu berharga di antara RM40,000 sehingga RM100,000.

Bayaran pembiayaan bank dianggarkan sekitar RM300 sehingga RM600. Pendapatan isi rumah pula tidak boleh melebihi RM5,000.

Harga rumah kos rendah untuk jenis B, C dan D pula lebih mahal sedikit dan syarat pendapatan isi rumah juga dinaikkan sehingga RM15,000.

Pada tahun 2019, terlalu banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik ditawarkan melalui RSKU (Rumah SelangorKu).

Akibat dari lambakan unit yang tidak terjual terlalu banyak, terdapat beberapa projek RSKU dibatalkan. Antara punca lain adalah lokasi yang tidak strategik kerana terletak jauh dari pusat bandar.

Isu utama melibatkan rumah kos rendah adalah penyalahgunaan hak yang diberikan. Yang pertama, mereka yang membeli rumah kos rendah dengan tujuan untuk disewakan dengan kadar pasaran sewa sekitar.

Bayangkan bayaran bulanan bank hanya serendah RM300 tetapi disewakan dengan kadar RM800 sebulan.

Lambakan unit yang tidak terjual menyebabkan pemaju terdesak untuk menghabiskan unit. Walaupun pemohon terlebih layak, pemaju akan membantu dari segi dokumen permohonan yang dibuat kepada LPHS (Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor).

Setelah permohonan rumah kos rendah pembeli tadi lulus, barulah pembelian hartanah lain akan dibuat.

Ini kerana sekiranya pembeli sudah mempunyai hartanah lain, permohonan untuk rumah kos rendah tersebut pasti akan ditolak.

Isu yang kedua adalah dari segi keselamatan. Rumah kos rendah kini menjadi habitat kediaman pekerja asing yang mempunyai permit dan juga yang berstatus pendatang haram.

Kita boleh lihat melalui rumah kos rendah dari PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) yang telah lama siap dibina dan kini disalahguna.

Sebagai contoh di Bangi, Puchong, dan Cheras, ada unit rumah kos rendah yang menempatkan hampir 20 orang penyewa dalam satu rumah.

Pekerja asing yang majoritinya bekerja syif akan bergilir-gilir tinggal di unit tersebut. Sudah pasti penduduk setempat tidak selesa dengan persekitaran sedemikian.

Ketiga, sekatan rumah kos rendah terbatal melalui lelong. Secara logiknya, ianya perlu kerana kebanyakan golongan B40 tidak mampu untuk membeli secara lelongan.

Jadi, adalah wajar apabila sekatan dibatalkan dan dibuka kepada semua.

Namun terdapat unit-unit kos rendah yang sengaja dilelongkan untuk membolehkan sesetengah pihak membelinya.

Tetapi, tidak semua unit kos rendah tersebut disenaraikan semasa acara lelongan dibuat. Ada pihak tertentu yang memastikan pembelian dibuat seakan dari lelongan, sebelum acara lelongan bermula.

Isu keempat adalah mengenai penyelenggaraan fasiliti, kebersihan persekitaran, dan juga sistem perparitan yang lancar.

Kebanyakan rumah kos rendah tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body, JMB) yang cekap.

Yuran penyelenggaraan bulanan yang rendah juga menyebabkan fasiliti tidak dapat diselenggara mengikut jadual.

Taman permainan yang rosak teruk, pili bomba yang tidak berfungsi, lif yang selalu rosak, dan perparitan tersumbat bakal mengundang bencana.

Yang terakhir dan paling utama sekali adalah pemantauan dari pihak berkuasa untuk memastikan kesemua isu yang dibincangkan terkawal.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) perlu memastikan kediaman kos rendah didiami rakyat Malaysia sahaja.

JMB yang dilantik juga perlulah dikawalselia oleh PBT untuk meningkatkan kecekapan dalam menguruskan kediaman kos rendah.

JMB yang berpusat di kediaman itu sendiri akan menjadi solusi terbaik untuk meningkatkan mutu persekitaran rumah kos rendah agar ianya selamat dan selesa untuk didiami.

Untuk permohonan rumah mampu milik dengan diskaun menarik, sila layari hihomes.my untuk info lebih lanjut.

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah