Hasil carian anda

Putrajaya : Daripada Kelapa Sawit Kepada Bandar Kelas Dunia

Dipos oleh Aezhad pada Januari 18, 2019
| 0

Bermula dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini telah membangun dengan nama Putrajaya bermula sejak 12 Oktober 1994.

Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya adalah sebuah bandar yang dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan.

Terletak 25 kilometer dari ibu kota Kuala Lumpur, ia adalah sebuah bandar terancang yang kini dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia menggantikan Kuala Lumpur sejak tahun 1999.

Bandar Pentadbiran, Kediaman Impian

Berkonsepkan ‘Bandar Pintar Dalam Taman’, Putrajaya dibina sebagai lokasi yang akan memaparkan kecanggihan bangunan kerajaan, pejabat, kompleks komersial serta perumahan moden yang dikelilingi oleh tasik dan taman yang cukup indah.

Pada awalnya diwujudkan sebagai bandar petadbiran bagi menangani masalah kesesakan bandar Kuala Lumpur, kini ia juga telah menjadi bandar mewah dan hab kosmopolitan bagi menawarkan kualiti hidup yang tinggi kepada setiap penduduknya.

Potensi Maju 2020

Melihat kepada pembangunan yang sedang berlaku di Putrajaya ini, tidak dapat dinafikan wujud potensi untuk menjadi sebuah bandar maju 2020. Pernahkah anda bersiar-siar di sepanjang Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya? Setiap bangunan kementerian di sini dibina dengan identiti tersendiri yang pasti memukau mata buat sesesiapa sahaja yang memandangnya.

Kredit: Wikipedia

Ditambah pula dengan keindahan seni bina Islam yang dipaparkan oleh Masjid Putrajaya dan Masjid Besi serta lambang ikonik Jambatan Sri Wawasan, ia menjadi lambang pencapaian Malaysia bukan sahaja daripada sudut reka bentuk malahan juga menunjukkan negara kita mempunyai kejuruteraan pembinaan yang hebat.

Kawasan Ideal Pinggir Bandar

Jika anda pernah melawat Putrajaya sudah pasti anda amat memahami kenapa bandar ini menjadi impian orang ramai untuk dijadikan sebagai tempat kediaman. Daripada keindahaan rekaan binaan bangunan sehingga kepada kemudahan yang tersedia, ia dilihat amat lengkap terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Kredit: imgcop

Pelbagai lokasi boleh dijadikan sebagai pilihan untuk beriadah atau meluangkan masa bersama keluarga di sekitar Putrajaya ini. Antaranya ialah Taman Saujana Hijau Presint 11, Tasik Putrajaya, Taman Wetland Putrajaya dan Taman Botani Putrajaya.

Sebagai contoh, di Taman Wetland Putrajaya terdapat Menara Pandang Jauh, denai semula jadi, kolam flamingo, tasik angsa, kawasan berkelah serta pelbagai lagi tarikan lain.

Di sini banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti menaiki tram dan buggy, berbasikal, berkayak atau menaiki paddle boat.

Buat mereka yang berkeluarga dan sedang mencari rumah di sekitar Putrajaya, harga median rumah Semi-D bernilai RM1.3 juta, rumah banglo RM2 juta dan rumah teres pula bernilai RM750,000.

Dwifungsi: Mercu Pentadbiran & Kediaman Warisan

Ketika mula dibina oleh Putrajaya Holdings, mereka telah meletakkan satu misi untuk melaksana dan membangunkan pelan strategik 20 tahun Putrajaya. Segala perancangan teliti dan sistematik telah dirangka oleh pakar jurutera, arkitek dan juga pereka landskap bagi merealisasikan usaha ini.

Kredit: Attractions in Malaysia

Mungkin ramai salah sangka dengan memikirkan bahawa bandar ini dibina hanya untuk penjawat awam sahaja tetapi sebenarnya tidak. Sesiapa sahaja boleh memiliki kediaman impian mereka di Putrajaya.

Dengan tema kawasan hijau yang luas di sepanjang jalan serta binaan taman-taman, Putrajaya turut memberikan tumpuan kepada pembangunan komersial bagi menambah lagi daya tarikan bandar pentadbiran ini.

Tawar Kehidupan Bahagia 30 Minit Dari Kuala Lumpur

Jaringan lebuhraya yang menghubungkan Putrajaya juga kini amat baik. Dengan menaiki Lebuhraya Maju Expressway (MEX), anda boleh menuju ke bandar Kuala Lumpur dengan mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Terdapat juga jaringan lebuhraya yang menghubungkan Putrajaya dengan bandar-bandar lain seperti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Ekspres Lingkaran Tengah (ELITE).

Kredit: KLIA2 Info

Dengan kemudahan lebuhraya ini, ia juga amat sesuai bagi mereka yang mahu tinggal di Putrajaya tetapi bekerja di Kuala Lumpur, Cyberjaya atau pelbagai lokasi lain. Harga median rumah untuk jenis apartment di Putrajaya adalah bernilai RM240,000, rumah jenis flat bernilai RM255,000 dan unit kondominium pula berharga RM555,000.

Lagi Artikel Hartanah


Langgan Info Terkini

Komen Anda?

Buletin 20

Sertai Kami Sekarang

Langgan newsletter Hartabumi dan dapatkan info hartanah percuma sekarang!
Maklumat Anda
LANGGAN SEKARANG
close-link
Buletin 20

Sertai Kami Sekarang

Langgan newsletter Hartabumi dan dapatkan info hartanah percuma sekarang!
Maklumat Anda
LANGGAN SEKARANG
close-link

Bandingkan Hartanah