Rumah di Malaysia, Mampu Beli Atau Mampu Tengok ? | HARTABUMIHARTABUMI
Hasil carian anda


Dipos oleh myhartabumi pada Jun 15, 2017
| 0

Sebut sahaja mengenai harga rumah pasti ramai yang akan merungut, marah dan mengeluh. Mana tidaknya, harga rumah di Malaysia dikatakan semakin menggila mahalnya dan tidak masuk akal.Namun begitu, menyedari isu ini yang semakin meruncing, kerajaan Persekutuan dan Negeri telah mengambil inisiatif membina rumah mampu milik.Antaranya projek PR1MA, Rumah SelangorKu dan RUMAWIP.Akan tetapi, wujud tanggapan bahawa inisiatif-inisiatif ini masih lagi tidak mencukupi.Benarkah?

Bagi merungkai isu ini, Hartabumi.my dengan kerjasama DuBook Press telah menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan isu rumah di Malaysia.Forum ini menemukan dua panel dari kalangan anak muda iaitu Saudara Radzi Tajuddin, CEO Hartabumi.my dan Ketua Pemuda BERSATU, Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berikut merupakan intipati forum :

RAKYAT MALAYSIA BELI RUMAH DI USIA SANGAT MUDA – RADZI TAJUDDIN

“Jika dilihat, golongan muda di Malaysia ini kebanyakkannya ingin membeli rumah sendiri seawal umur 20 hingga 24 tahun.Pada saya, ini adalah satu purata umur yang amat muda jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Sebagi contoh, rakyat di UK membeli rumah pada umur 35, China pada umur 38, Taiwan pada umur 31 dan Amerika Syarikat pada umur 34 tahun.

Tetapi situasi di Malaysia agak unik di mana kita ingin membeli rumah sejurus selepas habis belajar dan mula bekerja. Namun saya tidak melihat perkara ini sebagai suatu perkara yang salah, sebaliknya ada sebab mengapa orang ramai membeli rumah pada usia yang muda. Mereka berpendapat jika tidak beli rumah pada masa sekarang, harga rumah akan terus naik dan naik sehingga mereka tidak mampu langsung untuk mebeli rumah di masa hadapan.

Kerisauan ini ada asasnya. Jika kita kaji prestasi kenaikan harga rumah kita akan dapati sebenarnya kadar kenaikan rumah adalah normal sekitar 3.1% sepanjang tahun 2000 sehingga 2008. Kenaikan 3.1% ini tidaklah tinggi mana dan selari dengan kadar kenaikan gaji. Cuma situasi mula berubah pada tahun 2009 sehingga 2014 di mana kadar kenaikan terlalu tinggi sekitar 10.1% iaitu harga rumah telah menjadi mahal tiga kali gandar berbanding pada harga di tahun 2008. Atas sebab inilah masyarakat mula risau dan mahu membeli rumah secepat mungkin.

Kalau anda semua tahu harga rumah akan naik 10% tahun depan, adakah anda akan duduk diam sahaja? Semestinya anda mahu membeli dengan serta merta.Betul?

Isu kenaikan harga rumah yang menggila satu hal. Satu hal lagi bila wujudnya ‘pressure’ dan tanggapan masyarakat yang melihat mereka , lelaki khususnya, yang tidak memiliki rumah sebagai golongan yang belum berjaya. Lagilah menyebabkan permintaan kepada rumah itu meningkat.

Pada saya, kesemua keadaan ini menjadikan isu pemilikan rumah di Malaysia sebagai isu yang unik dan berbeza dengan negara-negara lain.”

BANYAK INISIATIF KERAJAAN TETAPI PERLU TELUS – SYED SADDIQ

“Saya ingin mulakan dengan bertanya- apa sebenarnya maksud rumah mampu milik di Malaysia?Kita perlu bezakan antara rumah kos rendah, rumah mampu milik dan rumah mampu tengok. Ketiga-tiga ini sudah pasti berbeza spesifikasi dan harganya.

Maksud rumah mampu milik menurut takrifan Bank Negara ialah nilai pendapatan individu selama tiga tahun dan campuran nilai pendapatan itu boleh membayar secara tunai harga rumah tersebut. Contohnya, pendapatan selama 3 tahun seseorang individu itu ialah RM150,000 jadi ini bermakna itulah harga mampu milik untuk individu itu. Sebab itu kita dapat lihat harga rumah mampu milik yang disediakan kerajaan adalah dalam lingkungan RM150,000 sehingga RM200,000 kerana majority rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di lingkungan RM4,000 sebulan.

Pada masa yang sama, harga rumah yang tinggi ini turut dipengaruhi oleh peredaran masa. Apabila di sesuatu penempatan itu mempunyai rumah yang mahal harganya, secara automatik ianya akan mempengaruhi kepada harga rumah yang lain. Oleh itu, saya akui kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan telah mengambil inisiatif dengan menyediakan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah seperti rumah Selangorku, PR1MA, SPNB, rumah Mesra dan sebagainya.

Pada saya inisiatif ini dilihat sebagai satu tindakan yang baik dalam memastikan rakyat mampu memiliki rumah sendiri. Bukan itu sahaja, kerajaan juga turut menyediakan subsidi sehingga RM30,000 untuk pemilik memiliki rumah pertama mereka. Ini bertujuan untuk memastikan pembeli rumah pertama seperti golongan muda dan golongan berpendapatan sederhana boleh memiliki rumah mampu milik ini.”

PERLU ADA KETELUSAN- SYED SADDIQ

“Namun, tanpa kita ketahui di sebalik wujudnya pelbagai inisiatif rumah mampu milik ini, berlakunya salah laku yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan menyekat golongan sasar daripada memiliki rumah mampu milik ini.Salah laku yang berlaku berpunca daripada pihak atasan yang tidak berintegriti dan mengambil peluang mengaut keuntungan daripada permasalahan orang lain.

Sebagai contoh, walaupun DBKL telah membina rumah mampu milik kepada golongan B40, ada pegawai kanan dalam DBKL yang telah berpakat dengan pemaju untuk membeli unit tersebut dan dijual kepada orang ramai pada harga yang lebih tinggi.Ini amalan untung atas angina dan sepatutnya tidak berlaku.

Anda boleh google sahaja ‘DBKL rasuah rumah mampu milik sprm’ dan anda tahu apa yang saya maksudkan.
Oleh itu, bagi mengelakkan masalah ini berlaku lebih meluas lagi, saya menggesa penjawat awam untuk isytihar harta mereka.Langkah ini adalah sangat penting supaya orang ramai boleh mengetahui ‘something unusual’ di kalangan penjawat awam.Saya tahu ‘it sounds simplistic’ tetapi tanpa pegawai kerajaan yang berintegriti, amat sukar bagi kita membantu golongan sasar mampu untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang mampu milik.”

KENAPA PEMAJU MASIH KEKAL UNTUNG?

“Disebalik isu harga rumah yang dikatakan ‘mampu tengok ini’, kita lihat kumpulan pemaju masih tidak gagal untuk mencapai keuntungan.Tahun lepas IOI Properties dan Sunway Property mencatatkan keuntungan yang lebih bagus.Mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan orang ramai dikatakan hanya mampu tengok daripada mampu milik?

Pemaju-pemaju ini sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi kerana hendak atau tidak, orang ramai tetap akan membeli rumah. Seperti yang saya sebutkan tadi, permintaan terhadap hartanah masih kekal tinggi.Di samping itu, permintaan ini turut dating dari kalangan pelabur hartanah.Mengapa mereka melabur hartanah?Mereka menganggaphartanah adalah satu bentuk pelaburan yang menguntungkan dan selamat. Kita juga jika beli rumah akan mengganggap harga rumah kita akan terus naik. Dan ia adalah satu-satunya aset berharga yang boleh diwarisi atau dibuat duit.” Jelas Radzi Tajuddin.

PELABUR HARTANAH KAPITALIS?

CEO Hartabumi.my itu turut menjelaskan mengenai stigma yang wujud kepada pelabur hartanah.“Ada yang beranggapan bahawa kewujudan kumpulan pelabur ini hanya untuk mengaut keuntungan sahaja.Mereka (pelabur-pelabur) berpakat menaikkan harga rumah dan menjadikan harga rumah meningkat dengan harga yang tidak munasabah.Ini membuatkan orang ramai tidak mampu membeli rumah.Apa yang dirisaukan, ‘trend’ sebegini akan berterusan dan akan terus meninggalkan golongan yang tidak mampu ini masih tidak mempunyai rumah sendiri.Namun benarkah tanggapan sedemikian?

Pada saya kita jangan pukul rata.Memang ada pelabur yang licik dan pemaju yang tamak, tetapi ramai yang berjinak-jinak dalam pelaburan hartanah adalah di kalangan mereka yang mahukan kehidupan yang lebih baik.Mereka ini bukannya orang senang.Mereka seperti kita yang sanggup menuntut ilmu dan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.Saya berpendapat mereka ini sebenarnya bijak dan mempunyai ilmu dalam sektor hartanah.

Jika dilihat pun, mereka sudi berkongsi ilmu dan hasilnya orang ramai kini sebenarnya makin celik dan bijak mengenai hartanah.”

LUASKAN SKIM RENT-TO-OWN- SYED SADDIQ

“Jika kita perasan, harga rumah mampu milik dalam lingkungan harga RM70,000 yang disediakan kerajaan ini cepat habis. Namun masih ada rumah mampu milik berharga RM150,000 hingga RM200,000. Akan tetapi, masih ada diantara rakyat yang tidak mampu untuk membuat bayaran pendahuluan membeli rumah ini.Apa yang boleh dilakukan?

Dalam memastikan individu ini boleh memiliki rumah ini dalam tempoh 10 ke 20 tahun, sebuah skim yang dipanggil skim Rent To Own (RTO) telah diperkenalkan. Skim Rent To Own ini adalah satu program sewa milik kediaman selama 10 tahun bagi pemohon yang berjaya dalam pengundian untuk kediaman PR1MA tetapi gagal mendapatkan kelulusan daripada bank panel PR1MA. Pemohon perlu menyewa kediaman PR1MA ini sehingga 10 tahun. Pemohon juga diberi pilihan untuk membeli kediaman tersebut pada akhir tahun ke 5 atau ke 10 pada harga yang ditetapkan.

Saya menyokong skim ini dan ini adalah contoh bagaimana kerajaan boleh membantu menangani isu harga rumah mampu tengok.”

KERAJAAN PERLU LEBIH KREATIF- RADZI TAJUDDIN

“Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting supaya masalah ini tidak akan berterusan.Semua sedar bahawa pasti akan berlaku kenaikan harga rumah, namun kenaikan harga sesuatu rumah itu perlulah munasabah dengan keadaan ekonomi sekarang. Apa yang menjadi persoalan ialah, kerajaan seolah-olah tidak memantau kenaikan harga rumah sehingga berlakunya ketidaktelusan di mana pihak yang tidak layak membeli rumah mampu milik , memiliki rumah berkenaan.

Disebabkan tiada kawalan dan pemantauan terhadap pasaran harga ini, wujudnya kumpulan-kumpulan pelabur yang bijak tadi, yang mana pada awalnya tidak layak pun menjadi seorang pelabur, mengaut keuntungan melalui kenaikan harga ini.Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memantau harga pasaran hartanah supaya harga rumah di Malaysia relevan.

Inisiatif kerajaan menyediakan rumah-rumah mampu milik disifatkan sebagai satu tindakan yang bagus. Namun, mengapa kerajaan hanya fokus pada pembangunan baru dan bukan pada ‘sub sale’ unit atau rumah yang tersedia ada yang sebenarnya lebih murah daripada harga rumah yang baru dilancarkan. Untuk atasi isu ini, kerajaan perlu memikirkan sesuatu untuk tidak terlalu fokus pada pembangunan baru.”

CADANGAN RADZI TAJUDDIN


“Kita jangan terlalu cepat menuding jari kepada orang lain sekiranya kita masih tidak memiliki rumah. Sebagai seorang pembeli, kita perlu bijak dalam membuat sesuatu keputusan.Ada juga pihak yang menuding jari menyalahkan pelabur atas isu kenaikan harga rumah ini.Kewujudan kumpulan pelaburini sudah lama ada namun mengapa keadaan pada zaman itu tidak seteruk sekarang.Sebagai orang muda kita memerlukan ilmu supayakita boleh ‘speak up dan say it loud’ apabila kita dapati berlaku suatu keadaan yang tidak bagus.

Misalnya dalam aspek hartanah Bumiputera, kami cuba membantu orang ramai dengan menyediakan sebuah portal (hartabumi.my) yang mengumpulkan hartanah-hartanah Bumiputera. Di samping itu Hartabumi.myturut memainkan peranan dalam memberi ilmu pengetahuan mengenai hartanah kepada orang ramai.Dengan adanya ilmu memudahkan kita untuk memiliki rumah sendiri sekaligus mencipta pelaburan yang menguntungkan pada masa hadapan.

Pada tahun ini, Hartabumi.my akan menawarkan beberapa peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama peroleh diskaun pukal ini. Antaranya pembelian secara pukal di mana orang ramai boleh mendaftar dan Hartabumi.my akan membantu orang ramai peroleh hartanah dengan harga yang mampu milik.

Apapun, bagi saya yang paling penting adalah ilmu pengetahuan.”

CADANGAN SYED SADDIQ

“Saya menasihatkan agar pihak-pihak atasan atau sesiapa sahaja untuk mengisytiharkan aset mereka.Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya salahguna kuasa. Sebagai contoh, SPRM akan siasat sekiranya berlaku ketidaktelusan dalam penguasaan harta oleh individu.

Adalah pelik untuk seseorang mempunyai aset berjuta dalam tempoh masa yang singkat. Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai aset bernilai RM500 ribu tapi apabila sudah menjadi pegawai tertinggi, dalam masa yang singkat nilai aset bertambah menjadi RM10 juta. Ini akan mendatangkan syak wasangka dan akan disiasat. Oleh itu sangat penting untuk seseorang itu mengisytiharkan aset mereka.

Kerajaan juga disarankan supaya membina rumah mampu milik di kawasan yang membangun seperti di bandar. Jangan letakkan jurang kaya atau miskin dalam sesuatu penempatan kerana kita tidak mahu sampai satu tahap kawasan bandar hanya akan didominasi oleh golongan yang kaya sahaja.

Masalah ini akan memberi kesan yang lebih teruk kerana pada peringkat awal lagi kita dipisahkan. Kita mahu memastikan semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa menetap di satu kawasan yang sama dan bersatu. Dengan itu, tidaklah rumah mampu milik ini dipinggirkan di kawasan luar bandar sahaja.

Selain itu, kita perlu buang pemikiran menetapkan berapa umur kita perlu ada rumah sendiri. Sekiranya gagal mencapai target itu, seseorang itu akan merasakan dirinya gagal. Pemikiran sebegini adalah tidak sihat kerana ianya akan menyebabkan status muflis dari golongan orang muda meningkat kerana tidak mampu membiayai perbelanjaan bulanan.

Jangan gilakan untuk ada rumah dan kereta tapi tidak mempunyai simpanan yang secukupnya.Susah untuk kita maju kehadapan sebagai rakyat Malaysia sekiranya hidup dengan pemikiran yang memaksa ini.

Pada masa yang sama perlu ada hukuman atau tindakan dikenakan ke atas pihak-pihakyang melakukan penyalahgunaan kuasa. Sekiranya daripada peringkat awal lagi hukuman ini diketengahkan, isu salahguna kuasa dalam kalangan pihak atasan ini pasti tidak akan berlaku. Nasib golongan sasar yang menjadi mangsa tindakan tidak bertanggungjawab ini perlu diadili kerana ianya bukan sahaja akan memberi kesan pada pembeli, malah pada seluruh ahli keluarga mereka. Oleh itu, dasar-dasar mengenai hal ini perlu diketengahkan dari peringkat awal lagi.”

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah