Hasil carian anda

Rumah Mampu Milik Macam Kondominium: Hanya di Selangor

Dipos oleh Aezhad pada Disember 3, 2018
| 0
  • Maybank salur dana RM1 Bilion bantu rakyat Selangor beli rumah.
  • Selangor rancang bantu rakyat peroleh deposit 10% beli rumah.

Bayangkan ada sebuah rumah yang mempunyai keluasan lebih 1,000 kaki persegi. Di luar rumah disediakan dua lot parking manakala di dalam rumah pula terdapat perabot seperti kabinet dapur dan kabinet bilik tidur. Tidak cukup dengan itu, turut disediakan adalah kemudahan pemanas air dan pendingin hawa di setiap bilik tidur.

Pada anggapan anda berapakah harga untuk rumah dengan kemudahan seperti kondominium mewah ini?

Sebenarnya inilah konsep perumahan mampu milik yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan bayangkan, harganya tidak lebih daripada RM250,000! Mengagumkan bukan?

Kredit: Kakiproperty

Beliau mengumumkan projek ini semasa pembentangan sulungnya sebagai menteri besar ketika Belanjawan Negeri Selangor 2019. Menteri besar Inc. (MBI) pula dipilih sebagai syarikat yang akan menguruskan projek ini sepenuhnya.

Setakat ini sebanyak 5,000 unit telah mendapat kelulusan oleh Lembaga Menteri Besar Inc (MBI) meliputi kawasan Bangi Lama (1,100), Sungai Sering di Ulu Klang (2,500) dan Paya Jaras (1,400).

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyatakan sasaran untuk membina 30,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun.

Baca : Rumah Mampu Milik Di Lembah Klang Wujud, Namun Pembeli Tidak Tahu

Selain MBI sebagai peneraju utama projek, Amirudin turut memaklumkan kerjasama dengan Maybank yang telah berjanji untuk melaksanakan sistem sewa-milik (RTO) yang mampu meringankan beban para pembeli rumah di negeri itu.

Kredit: Smart Investor

Terdapat beberapa kaedah yang akan dilaksanakan oleh Maybank. Melalui dana sebanyak RM1 bilion, institusi kewangan itu akan mengembangkan RTO dengan menyediakan bayaran pendahuluan untuk membeli hartanah.

Dengan kaedah ini, satu rekod tercipta apabila Selangor merupakan negeri pertama yang berjaya menyediakan dana itu dengan bantuan khusus dari Maybank.

Beberapa inisiatif RTO yang turut ditawarkan Maybank kepada pembeli rumah adalah Maybank Houzkey atau Maybank2own.

Baca : Skim Rent-To-Own: Penyelesaian Isu Tidak Mampu Beli Rumah

Selain itu, sistem RTO yang dirancang itu juga turut membantu untuk mengekalkan nilai asal hartanah walaupun penyewa silih berganti.

Untuk pembeli berpendapatan rendah dan sederhana pula, bantuan pinjaman 100% serta sewa bulanan yang tidak membebankan akan disediakan.

Apa yang menarik, 20% daripada bayaran sewa itu nanti akan disimpan untuk dijadikan tabungan jika mereka berhasrat membeli rumah pada masa akan datang.

Kredit: Selangorkini

“Dengan pelaksanaan program itu, Kerajaan Negeri boleh membantu kira-kira 5,000 pemilik rumah dengan menamatkan bantuan kewangan.”

kata Amirudin yang juga Adun Sungai Tua.

Memahami masalah perumahan semasa di negeri tersebut, Amirudin berkata, apa yang berlaku bukan kerana masalah bekalan rumah tidak mencukupi, sebaliknya berpunca daripada pinjaman dan harga tanah yang terlalu tinggi.

Hal ini dibuktikan dengan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan bahawa pada suku kedua tahun ini, Selangor merupakan pembekal kediaman terbesar dalam negara sebanyak 1.52 juta daripada 5.51 juta unit yang terdapat di seluruh negara manakala Johor pula merupakan negeri kedua terbesar dengan menyediakan sebanyak 799,000 unit kediaman.

Kredit: Selangor Gov

Justeru, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pemaju dan agensi kewangan untuk membantu rakyat mendapatkan rumah pertama termasuklah mendapatkan deposit 10%.

Menggariskan pencapaian semasa, Amirudin memberitahu, kerjasama kerajaan negeri dengan sektor swasta untuk membina Rumah Selangorku di pelbagai lokasi strategik telah melangkui sasaran awal sebanyak 15,000 unit pada tahun ini.

Baca : Pembangunan rumah mampu milik tidak melebihi RM250,000

Sehingga 31 Ogos lalu sahaja, sebanyak 28,639 unit telah dibina yang mana 3,770 unit telah diserahkan kepada pembeli manakala lagi 24,869 unit pula masih dalam pembinaan yang dijangka akan selesai pada awal tahun 2025.

Baki sebanyak 75,991 unit lagi berada pada dua peringkat iaitu 60% pada peringkat Kebenaran Merancang manakala 40% lagi pada peringkat Pelan Bangunan.

Komitmen Kerajaan Negeri pada tahun hadapan pula adalah dengan RM50 juta untuk membantu pembeli mendapatkan rumah melalui Skim Sewa Pintar.

Berdasarkan skim ini, golongan muda yang berpendapatan rendah hingga RM5,000 yang menyewa rumah akan dibantu. Tempoh masa menyewa yang ditetapkan pula adalah minimum 2 tahun dan maksimum 5 tahun.

Baca : 5 Rumah Mampu Milik Bagi Yang Bergaji RM 3000

Sekiranya dalam tempoh ini mereka berhasrat untuk membeli rumah, sebanyak 30% daripada nilai sewa tersebut akan dikembalikan kepada mereka yang mana akan digunakan untuk membayar deposit rumah baru atau menguruskan proses pembelian seperti bayaran perjanjian jual beli (S&P), duti setem dan sebagainya.

Bagi memastikan objektif ini tercapai Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberi keutamaan kepada penyewa yang mendaftar dalam Skim Sewa Pintar untuk ditawarkan dalam mana-mana projek Rumah Selangorku.

Hal ini akan membantu mereka untuk memiliki rumah sendiri dalam tempoh lima tahun.

Kredit: Selangorkini

Setakat ini, sebanyak 842 rumah mampu milik bernilai RM122.8 juta dalam proses pemilikan di bawah kendalian LPHS dan syarikat Housing and Properties Selangor Sdn Bhd (PHSSB) telah dilantik sebagai agensi untuk menguruskan proses skim ini.

Manakala sebanyak 341 unit rumah boleh disewa pada kadar RM450 hingga RM650 sebulan.

Menyimpulkan kejayaan membantu meringankan beban rakyat serta membantu untuk mendapatkan rumah idaman pertama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan perumahan mampu milik untuk rakyat negeri itu.

Seperti yang ditegaskan oleh Amirudin bahawa kerjasama melalui perkongsian strategik itu akan memberikan keuntungan kepada rakyat, Soffan pula menambah bahawa MBI sentiasa komited untuk membina rangka kerja dan formula yang kuat serta konkrit untuk memastikan hasrat yang digariskan Kerajaan Negeri akan dicapai pada suku tahun hadapan.

Lagi Artikel Hartanah


Langgan Info Terkini

Komen Anda?

Bandingkan Hartanah